Strategi Timur Pertempuran_Ankara

Kedudukan tentera Bayezid dan Timur sebelum pertempuran tercetus.

Semasa Timur sedang mengepung kota Ankara, Sultan Bayezid mengundurkan tenteranya dari kota Constantinople dan memindahkan tenteranya untuk menuju ke kota Ankara pada Jun 1402. Timur seterusnya berundur untuk memancing Bayezid supaya jauh daripada kedudukan strategiknya. Sultan Uthmaniyyah itu faham bahawa pasukan Timur akan menyerbu dan menyerang daerah-daerah di timur. Hal ini memaksa Bayezid meninggalkan garison kecil dan memimpin tenteranya untuk bertembung dengan pasukan musuh.

Tentera Uthmaniyyah melewati laluan antara Sivas dan Tokat dengan harapan hutan tebal di kawasan itu dapat mengurangkan keberkesanan pasukan pemanah dari tentera Timur. Cara ini dapat memaksa Timur untuk bertempur di tempat yang tidak sesuai dengan keunggulan pasukannya ataupun ia akan memaksa Timur untuk berundur secara muktamad dari Anatolia. Namun, Timur telah memilih pilihan yang ketiga. Angkatan tenteranya hilang daripada pengesanan tentera Uthmaniyyah yang gagal menjejakinya. Timur bergerak ke kawasan barat daya dan menduduki kota Kayseri. Sementara itu, Bayezid masih mengira bahawa beliau akan bertemu dengan musuhnya di utara. Timur akhirnya mara ke utara dan pasukan beliau hanya terletak di belakang pasukan Uthmaniyyah. Sultan Uthmaniyyah itu akhirnya mengakui taktikal bijak musuhnya apabila kota Ankara telah dikepung. Bayezid tidak mempunyai pilihan lain selain membawa tenteranya yang kepenatan untuk kembali ke Ankara semula.

Pasukan Timur terdiri daripada tentera TatarMongol dengan sejumlah besar pemanah berkuda. Pasukannya juga memiliki beberapa dozen gajah berzirah hasil serangannya yang lalu di India. Sementara itu, tentera Uthmaniyyah merupakan campuran askar Seljuk, tentera upahan Tatar, sejumlah kecil tentera elit yang telah dibentuk oleh sultan sebelum ini dan Kesatria Eropah Timur pimpinan Stefan Lazarević dari Serbia, yang pada masa itu merupakan negeri naungan Uthmaniyyah.

Pada awal permulaan kempen, pasukan Timur dan Bayezid mempunyai kekuatan yang agak sama iaitu lebih 100,000 tentera. Akan tetapi, dikatakan sekurang-kurangnya 20,000 tentera Uthmaniyyah telah gugur ketika mereka kembali ke Ankara semula dari Sivas.